Friday, September 9, 2011

Bahasa menjunjung budaya

Bahasa jiwa bangsa! Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menjadikan blog ini sebagai dwibahasa. Bukan bermakna tidak menyanjung bahasa sendiri yang telah lama meresap dalam jiwa dan sanubari, namun bagiku pengetahuan itu sangat meluas. Mempelajari bahasa lain atau asing dapat memperkayakan bahasa dan ilmu yang dimiliki seseorang. Mulai hari ini, blog ini bakal diwarnai dengan bahasa Melayu/ Malaysia secara dominan dan bahasa-bahasa lain yang aku tahu, dan semestinya buat masa ini hanya bahasa Inggeris.

Bercerita tentang menjunjung budaya ini, pada Selasa yang lalu telah berlangsungnya majlis Pelancaran Buku Malaysian Customs & Etiquette yang ditulis oleh Dato' Paduka Noor Aini Abdullah di Friends to Mankind, Kota Damansara. Bercerita tentang buku ini, ia menerangkan tradisi dan budaya rakyat Malaysia yang dihuni pelbagai kumpulan etnik seperti Melayu, China dan India. Ia sangat sesuai sebagai bahan bacaan bagi mereka yang ingin mendalami cara hidup masyarakat di Malaysia yang masih dipraktiskan hingga kini. Aku akui, ia merupakan bahan bacaan yang menarik. Maklum sajalah, walaupun menjadi warganegara Malaysia, namun ada juga budaya dan adat resam bangsa lain yang kita tidak ambil peduli sebelum ini. Sekurang-kurangnya terbuka juga minda dan pengetahuan apabila membaca buku ini.

Ini merupakan majlis pelancaran buku yang pertama aku sertai setelah bekerja di tempat baru (Marshall Cavendish (Malaysia) Sdn Bhd. Majlis ini diserikan dengan kehadiran YB Dato' Seri Dr Ng Yen Yen, Menteri Pelancongan Malaysia yang turut merasmikan pelancaran buku. Ramai juga rakan-rakan media yang hadir. Bila melihat mereka, mengimbas kembali kerinduan menghadiri acara pelancaran sewaktu menjadi wartawan di majalah Impiana dahulu. Sudah tentu keseronokan disebabkan mendapat 'goodie' sewaktu pelancaran dan juga cabutan bertuah, hehehe. Dan seringkali juga aku menjadi tidak bertuah, hurm ... susah nak merasa dapat hadiah-hadiah best ni, kalau dapat pun takut kontroversi pula oppss.... , almaklum sajelah. Hanya pernah bertuah pun sekali sahaja, itupun sewaktu pelancaran tilam Goodnite Sleeping Partner oleh Eric Leong. Berjaya juga aku memenangi cabutan bertuah berupa sebuah tilam bersaiz queen yang memang empuk dan best untuk tidur. Itulah sekali dan terakhir! Mungkin ada cabutan yang lain pula bakal menanti, hahaha .... aku berdoa dengan penuh harapan.

Baiklah, harus berhenti di sini dahulu, nanti apabila ada cerita yang menarik, aku akan post di blog ini lagi. Usah segan untuk memberikan komen anda. Jumpa lagi nanti!

* Maaf, kualiti gambar agak kurang memuaskan.

No comments:

Post a Comment