Bait-bait Dondang Sayang pastinya membuatkan anda terfikir mengenai kota Melaka. Kota penuh bersejarah dengan pelbagai daya tarikan, Kota A Famosa, Kota St. John, Perigi Hang Tuah antara yang sudah meniti di bibir. Di Melaka, terdapat banyak hotel yang boleh dipilih sebagai lokasi penginapan, pilih sahaja mana yang berkenan di hati ataupun memenuhi peruntukan bajet anda.
Berbicara mengenai hotel sebagai lokasi penginapan, terus terlintas di fikiranku mengenai The Majestic Malacca. Apatah lagi teman baikku, Zaza juga beria ingin mengetahui tentang keindahan dan keistimewaan hotel mewah ini, lalu aku kongsikan bersama pengalamanku sewaktu menyertai jelajah media anjuran Royal Selangor pada tahun 2008 sempena pelancaran koleksi terbaru produk mereka. Meskipun sudah lama berlalu, namun aku pasti pengalamanku tatkala berada di The Majestic Malacca bakal melakar imaginasi anda untuk menginap di sini juga.
Tidak salah untuk aku katakan, jelajah media ini adalah yang paling seronok aku sertai dan telah diatur sempurna oleh pihak Royal Selangor. Keseronakan menginap dalam versi penuh mewah adalah sesuatu yang begitu indah bagi mana-mana percutian ataupun atas dasar urusan perniagaan. Untuk pergi ke Melaka, aku telah dibawa ke sana menggunakan kereta Mercedez Benz (ala-ala VIP, sangat perasan!). Bila lagi mahu merasai perjalanan yang mempunyai pemandu sendiri (selain daripada menaiki teksi, hehehe). Sudah semestinya, perjalanan terasa lebih selesa dan indah.
Saat tiba ke destinasi yang dituju, The Majestic Malacca , hati dilanda kegusaran sayugia melihat bangunan di persekitarannya boleh dikatakan agak usang. Namun, tatkala pijakan pertama menjengah ke ruang lobi, satu perkataan yang dapat aku gambarkan adalah WOW! … memang aku terkesima dengan keindahan tata hias dalamannya memukau pancaindera. Sesuai dengan gelarannya ‘Small Luxury Hotel’. Apatah lagi ilham klasikal yang membuatkan kita mengimbau kepada sejarah silam yang tidak pernah diteroka.
![]() |
Foto adalah ihsan The Majestic Malacca sewaktu sesi jelajah ini. Ruang lobi yang sangat mengagumkan pandangan. Lihat sahaja pada setiap perincian yang digunakan, terasa diri berada di zaman kolonial. |
Merebahkan diri yang penat di ruang kamar menitipkan perasaan indah dan mendamaikan pada jiwa. Sajian teh China sebagai hidangan pembuka tersedia sewaktu anda menjejakkan kaki ke dalam ruang kamar. Aku menginap di kamar Deluxe King yang dilengkapi four poster bed dan juga chaise lounge yang memberikan ruang santai yang selesa sambil menjamu mata melihat pemandangan luar. Keistimewaan ruang kamar diserlahkan dengan ruang kamar mandi terbuka yang dihiasi tab mandi berkaki (large clawfoot bathtub). Pastinya diri terbuai dan rasa lebih dimanjai sewaktu mandi di dalam tab ini, apatah lagi jika dipasang alunan muzik romantis (tak begitu Zaza?). Oh ya, setiap kamar dilengkapi dengan TV berskrin rata dan juga pemain DVD!
![]() |
Foto ihsan dari The Majestic Malacca sewaktu sesi jelajah ini. Foto yang diambil sendiri entah di mana, tetapi inilah wajah kamar Deluxe King. |
![]() |
Segala-galanya mewah, termasuklah ke rangkaian toiletries yang berjenama. Malahan, bakul laundry juga berkemasan rotan. |
Kalau ingin lebih memanjai diri anda, singgah sahaja ke Spa Village Malacca yang terletak di sini. Ia merupakan satu-satunya spa yang memberikan rawatan berasaskan warisan budaya Baba-Nyonya atau Peranakan. Bagi yang gemar membaca, pergi sahaja ke ‘Library’ yang terletak berhampiran dengan ruang lobi bagi menghabiskan masa yang terluang, ataupun ke kolam renang untuk beriadah. The Mansion merupakan restoran utama yang tidak kurang hebat paparan dekorasinya. Setanding dengan tata hias, sajian hidangan juga pasti menggoda selera anda. Jika mahu menikmati hidangan pagi atau minum petang yang lebih santai, The Lounge at The Mansion adalah pilihan yang ideal. Masih banyak keindahan dan keseronokan yang menanti anda di The Majestic Malacca.
![]() |
Antara tempat yang dikunjungi sewaktu jelajah media ini. |
Ayuh, kemaskan pakaian dan kita ke The Majestic Malacca hujung tahun ini!
* Layari http://www.majesticmalacca.com untuk merealisasikan percutian istimewa anda!
No comments:
Post a Comment